KOTA KINABALU: Dua individu cedera, termasuk seorang wanita yang patah kaki kanan dan melecur 20 peratus pada badan, dalam kebakaran sebuah stor dan bengkel kereta di Jalan Nountun, Inanam, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, seorang lelaki berusia 56 tahun turut mengalami kecederaan melecur pada kaki kanan.
Kebakaran berkenaan turut memusnahkan tiga kenderaan, masing-masing sebuah lori lima tan, Honda Accord dan Perodua Myvi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.35 pagi.
Menurutnya, seramai 12 anggota dikejarkan ke lokasi dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah stor serta bengkel kereta yang musnah kira-kira 40 peratus.
“Kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) bomba sebelum dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman turut dibantu 14 anggota dari BBP Kota Kinabalu.
Api berjaya dikawal pada jam 2.23 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.50 pagi.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.-DAKWAT RAKYAT POST
