KUDAT: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengingatkan semua parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya mengetepikan ego politik dan mengutamakan kepentingan Sabah demi memastikan perpaduan serta kestabilan politik negeri terus terpelihara.
Beliau berkata, kekuatan Sabah untuk memiliki kuasa tawar-menawar yang lebih kukuh di peringkat Persekutuan perlu bermula dengan perpaduan dalam GRS sendiri, bukannya dibayangi pertelingkahan, perebutan kedudukan dan kepentingan individu.
“Tidak guna kita memuji kesatuan orang lain, kalau dalam rumah GRS sendiri kita masih bertelagah. Kekuatan Sabah sebenarnya bermula di sini, daripada kekuatan kita sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen GRS 2026 di Dewan Tun Mustapha, di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, gabungan itu ditubuhkan pada 2020 berlandaskan aspirasi rakyat untuk memperkukuh politik tempatan, menentukan hala tuju negeri sendiri, mempertahankan kepentingan rakyat dan memastikan pentadbiran Sabah kekal stabil.
Menurutnya, kejayaan GRS menjadi blok terbesar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada November tahun lalu bukan hasil usaha satu parti atau pemimpin semata-mata, sebaliknya merupakan sumbangan bersama semua parti komponen, pimpinan dan ahli gabungan itu.
“Tidak ada parti yang begitu besar sehingga tidak lagi memerlukan rakannya. Dan tidak ada parti yang terlalu kecil sehingga sumbangannya boleh kita abaikan. Masing-masing mempunyai peranan,” katanya.
Beliau menegaskan kepentingan GRS mesti mengatasi kepentingan mana-mana parti komponennya, manakala kepentingan Sabah pula perlu sentiasa didahulukan berbanding kepentingan gabungan itu sendiri.
Hajiji turut mengingatkan bahawa tindakan sesetengah pihak meninggalkan gabungan untuk membawa haluan sendiri perlu dijadikan pengajaran agar GRS terus memperkukuh perpaduan, lebih matang dalam membuat keputusan dan mengelakkan pertelingkahan sesama sendiri.
Menurutnya, cabaran lebih besar menanti menjelang pilihan raya akan datang, khususnya ketika perbincangan mengenai pemilihan calon dan pembahagian kerusi yang boleh menguji kesetiaan serta semangat setiakawan antara parti komponen.
Katanya, setiap pemimpin perlu membezakan antara mempertahankan prinsip dengan mempertahankan ego, selain tidak menjadikan kegagalan memperoleh kerusi sebagai alasan untuk merajuk, enggan bekerjasama atau menyerang rakan dalam gabungan sendiri.
“Tidak ada calon GRS yang menang seorang diri! Di belakang setiap kemenangan ada jentera daripada pelbagai parti. Ingatlah, politik sentiasa berubah. Hari ini kita mungkin kuat, esok belum tentu!” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji menegaskan bahawa status sebagai parti tempatan sahaja tidak mencukupi untuk meraih kepercayaan rakyat kerana keyakinan tersebut perlu dibina melalui hasil pentadbiran dan pembangunan yang dapat dirasai dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata, rakyat mahukan kehidupan yang lebih baik, peluang pekerjaan, ekonomi yang kukuh dan kerajaan stabil yang berupaya menyelesaikan masalah, bukannya sekadar retorik politik.
“Rakyat mahu sebuah Kerajaan yang stabil, yang bukan sekadar pandai bercakap, tetapi mampu menyelesaikan masalah. Kita boleh menang berucap ketika di atas pentas, tetapi kalah dalam menawan hati rakyat,” katanya.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada ahli akar umbi yang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang sendiri ketika berkempen, termasuk menggunakan kenderaan sendiri serta meninggalkan keluarga demi perjuangan gabungan itu.
Katanya, pengorbanan mereka yang jarang mendapat perhatian umum tidak boleh dilupakan kerana golongan berkenaan menjadi antara asas kekuatan GRS.
Beliau turut menekankan kepentingan membina hubungan berasaskan kepercayaan dan sikap saling menghormati dalam gabungan, selain memberi ruang kepada generasi muda untuk memikul tanggungjawab serta menyumbang idea baharu tanpa mengetepikan pengalaman pemimpin terdahulu.
Mengakhiri ucapannya, Hajiji mengingatkan bahawa jawatan merupakan amanah yang tidak kekal selama-lamanya dan setiap pemimpin perlu sentiasa mengutamakan tanggungjawab kepada rakyat berbanding kepentingan mempertahankan kedudukan.
“Sebab itu, jangan terlalu sayangkan kerusi sehingga kita lupa mengapa kita diberikan kerusi itu,” katanya.
Beliau menegaskan empat prinsip perjuangan GRS, iaitu Sabah First, Sabah United, Sabah Forward dan Sabah Prosper, perlu diterjemahkan melalui komitmen, gerak kerja dan usaha menjaga kebajikan rakyat, bukannya sekadar slogan politik.-DAKWAT RAKYAT POST
