TAWAU: Penyalahgunaan parkir percuma di Hospital Tawau oleh individu yang tidak berurusan dengan hospital menjejaskan peluang pesakit dan pelawat mendapatkan ruang meletak kenderaan.
Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui berkata, keadaan itu antara sebab kutipan bayaran dicadangkan, termasuk keperluan membiayai pembersihan dan meningkatkan keselamatan kawasan berkenaan.
Tampil menjelaskan cadangan yang mengundang keluhan orang ramai itu, beliau menegaskan kawasan parkir itu dibangunkan di atas tanah persendirian dan bukan milik Hospital Tawau.
“Sekarang, dianggarkan 30 hingga 40 peratus ruang parkir digunakan oleh mereka yang bukan datang melawat atau berurusan dengan hospital.
“Mungkin mereka tidak mempunyai ruang sesuai untuk meletakkan kenderaan, jadi mereka parkir di sini kerana percuma. Ini juga antara keluhan yang kita terima daripada rakyat Tawau,” katanya ketika melakukan tinjauan di kawasan parkir Hospital Tawau.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata, kawasan parkir itu pada asalnya dibangunkan bagi membantu pesakit dan pelawat yang berdepan kesukaran mendapatkan tempat sehingga terpaksa meletakkan kenderaan di tepi jalan.
Katanya, beliau mendapatkan persetujuan pemilik tanah sebelum bersama beberapa persatuan membangunkan kawasan yang sebelum itu tidak diselenggara dengan baik dan tidak berturap.
“Kita membangunkannya dengan kemampuan sendiri, tanpa meminta peruntukan kerajaan negeri Sabah atau Persekutuan.
“Tanah itu milikan swasta dan kemudian pengurusannya diserahkan kepada Persatuan Kakitangan Hospital Tawau,” katanya.
Beliau berkata, selepas hampir dua tahun digunakan secara percuma, keperluan menjaga kebersihan dan keselamatan semakin mendesak berikutan kawasan itu bukan dibawah peruntukan penyelenggaraan Kementerian Kesihatan.
Menurutnya, aduan turut diterima berhubung kecurian dan kerosakan kenderaan, termasuk kakitangan hospital yang diganggu individu tidak dikenali ketika pulang bekerja pada waktu malam ekoran tahap keselamatan yang longgar.
“Tujuan kita membangunkan parkir ini juga adalah untuk memberikan keselesaan dan keselamatan kepada pengguna yang benar-benar berurusan dengan hospital.
“Saya rasa bayaran itu wajar bagi memastikan pengurusan kawasan parkir yang baik dalam jangka panjang,” katanya.
Bagaimanapun, Lo mengakui kutipan bayaran boleh menambah beban sesetengah pengguna dan memahami keresahan yang disuarakan orang ramai.
Katanya, pengguna kurang berkemampuan boleh berjumpa pihak pengurusan untuk memohon pengecualian bayaran.
“Saya sedia maklum berkenaan luahan orang ramai yang kurang berkemampuan dan saya faham ada yang terbeban. Kita bersedia membantu mereka.
“Jika ada yang kurang mampu, boleh berjumpa pengurusan parkir dan memohon pengecualian. Saya difahamkan mereka bersedia mempertimbangkannya,” katanya.
Difahamkan, lebih 1,000 petak parkir di hospital berkenaan akan dikenakan bayaran masuk berkuatkuasa Disember tahun ini.
Kadar parkir bagi orang awam ditetapkan RM1 untuk kemasukan pertama dan 50 sen bagi setiap jam berikutnya, dengan bayaran maksimum RM5 sehari.
Bagi kakitangan hospital, pas parkir bulanan ditawarkan pada kadar RM30 sebulan.-DAKWAT RAKYAT POST
