SEMPORNA: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan ahli keluarga atau waris bagi membantu pihak polis mengecam dan menuntut mayat seorang lelaki yang ditemukan dalam keadaan mereput di Kilometer 15, Jalan Semporna-Tawau, pada 19 September lalu.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, mayat lelaki berkenaan ditemukan kira-kira jam 11.29 pagi tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
Menurutnya, bedah siasat yang dijalankan pada 13 Oktober lalu mendapati kematian lelaki itu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
“Mayat kini disimpan di Jabatan Forensik Hospital Semporna sementara dituntut oleh waris,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sehubungan itu, individu yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan identiti lelaki berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Jamal bin Tampak, menerusi talian 013-211 1667.
Orang ramai juga boleh menghubungi Balai Polis Semporna di talian 089-782 020 atau menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran bagi membantu usaha mengenal pasti identiti lelaki berkenaan serta mengesan warisnya.-DAKWAT RAKYAT POST
