Kuala Lumpur: PETRONAS merekodkan hasil RM152.4 bilion bagi separuh pertama 2026 didorong pengeluaran domestik lebih tinggi dan peningkatan jumlah jualan gas asli cecair (LNG).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ia juga didorong penjualan gas diproses yang disokong peningkatan harga realisasi purata bagi produk utama susulan krisis geopolitik di Asia Barat.
Namun katanya, PETRONAS turut dibebani kos jualan lebih tinggi akibat kenaikan kos import dan pemprosesan minyak mentah, selaras komitmen mengekalkan operasi stabil serta menjamin keselamatan dan kelestarian bekalan tenaga negara, walaupun disokong harga pasaran lebih kukuh.
“PETRONAS melaksanakan tanggungjawab sosial korporat melalui inisiatif dirangka secara inklusif, berimpak tinggi dan sejajar agenda pembangunan mampan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat setempat.
“PETRONAS juga melaksanakan lebih 1,000 inisiatif yang memberi manfaat kepada penerima daripada pelbagai latar belakang dan keperluan di negara ini, antara 2020 hingga tahun lalu.
“Mereka juga bekerjasama dengan kerajaan serta agensi tempatan bagi memastikan setiap program dilaksanakan secara berkesan dan menghasilkan impak mapan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di portal Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ewon Benedick (GRS-Penampang) mengenai pendapatan PETRONAS hasil jualan minyak dari Februari lalu dan jumlah diberikan kepada kerajaan untuk program bantuan rakyat atau pembangunan.
Kredit sumber: Harian Metro – Disiarkan pada 30 Oktober 2026
