TENOM: Penglibatan lebih ramai golongan muda dalam sektor pertanian perlu diperkukuh bagi memastikan industri itu terus berkembang dan tidak terus bergantung kepada tenaga kerja berusia.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, usaha meremajakan sektor pertanian perlu diberi perhatian serius berikutan sebahagian besar petani, penternak dan pengusaha dalam bidang berkenaan ketika ini terdiri daripada golongan berusia.
Menurutnya, golongan muda perlu diberikan pendedahan ilmu serta kemahiran mencukupi bagi membolehkan mereka menjadi tenaga penggerak kepada pembangunan sektor pertanian, khususnya di peringkat akar umbi.
“Dengan adanya kursus seperti ini, kita dapat menambah ilmu golongan muda dalam bidang pertanian sekali gus melancarkan aktiviti pertanian di lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Kursus Asas Pertanian Pusat-pusat Latihan Petani Jabatan Pertanian Sabah di Dewan Serbaguna, Taman Pertanian Sabah, di sini, hari ini.
Jamawi berkata, Jabatan Pertanian Sabah akan meneruskan usaha membimbing bekas pelatih berkenaan selain menyalurkan bantuan bersesuaian bagi membantu mereka mengembangkan potensi dalam bidang pertanian.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja bertujuan membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda, malah menggalakkan mereka menceburi bidang keusahawanan tani.
“Kita akan terus membimbing dan membantu mereka supaya turut berjaya seperti usahawan lain yang sudah lama berkecimpung dalam sektor pertanian,” katanya.
Terdahulu, seramai 70 pelatih berjaya menamatkan kursus asas pertanian selama enam bulan yang dijalankan di pusat latihan Jabatan Pertanian Sabah di Lagut, Soberang Canem, Kota Marudu dan Ulu Dusun, Sandakan.
Majlis berkenaan turut menyampaikan anugerah kepada pelatih terbaik bagi Modul Tanaman Jagung, Modul Tanaman Sayur-sayuran serta Pelatih Terbaik Keseluruhan bagi kategori lelaki dan perempuan.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap I (Pembangunan), Awang Dzulkernain Awang Hassan; Timbalan Pengarah Pertanian, Bahagian Pengembangan dan Pembangunan Industri Tanaman, Suraya Jubahar; Timbalan Pengarah Pertanian, Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Zarinah Hj Ali serta Timbalan Pengarah Pertanian, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Alinah Abdul Rahman.-DAKWAT RAKYAT POST
