SIPITANG: Seramai 24 mangsa daripada empat keluarga dipindahkan ke Dewan Mesapol selepas kediaman mereka di Kampung Bebangkong Mesapol, di sini, dilanda banjir awal pagi tadi.
Operasi menyelamat dilakukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang selepas menerima panggilan kecemasan menerusi MERS NG999 pada jam 5.42 pagi.
Ketua BBP Sipitang, Desmond Anak Mickey berkata, seramai enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah bot penyelamat digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.55 pagi sebelum mengesahkan kejadian banjir dan menjalankan operasi pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Seramai 24 mangsa daripada empat keluarga dipindahkan ke Dewan Mesapol menggunakan sebuah bot penyelamat.
“Operasi turut dibantu dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa terbabit terdiri daripada lima lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa, empat kanak-kanak lelaki, lima kanak-kanak perempuan dan seorang bayi perempuan.
Katanya, operasi pemindahan masih diteruskan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.-DAKWAT RAKYAT POST
