TAWAU: Seramai 58 belia menyertai Program Belia Prihatin Daerah Tawau menerusi aktiviti kesukarelawanan mengecat bagi menceriakan bangunan dan persekitaran Pusat Jagaan Orang Pekak dan Kurang Upaya Tawau (AOKAM Centre), di sini, pada Sabtu.
Program yang berlangsung pada 31 Oktober itu bukan sahaja bertujuan memperindah kemudahan pusat jagaan berkenaan, malah menjadi platform memupuk semangat kesukarelawanan, keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan generasi muda.
Inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Belia Sabah, The Boys’ Brigade Tawau, Kelab Rakan Muda Tawau, Pengakap Tawau serta AOKAM Centre.
Majlis pelancaran program disempurnakan Exco Majlis Belia Sabah, Chia Yi Sheng yang turut merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan dan penyumbang atas sokongan dalam menjayakan aktiviti berkenaan.
Beliau berkata, komitmen 58 belia yang meluangkan masa dan tenaga membuktikan golongan muda mampu memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Sementara itu, Pemimpin Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM), Alex Dennis yang turut menyelaras pelaksanaan program berkenaan, menghargai kerjasama semua sukarelawan, rakan strategik dan penyumbang.
Beliau turut menggalakkan lebih ramai belia, pihak korporat serta agensi kerajaan dan swasta tampil menganjurkan inisiatif seumpama itu bagi membantu komuniti yang memerlukan.
Menurutnya, aktiviti kesukarelawanan bukan sahaja memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat, malah membantu membentuk sahsiah, meningkatkan kemahiran insaniah serta menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif, khususnya dalam kalangan remaja.
Program itu diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama antara pertubuhan belia, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan sektor korporat dalam memperkukuh budaya kesukarelawanan serta membina masyarakat yang prihatin dan saling membantu.-DAKWAT RAKYAT POST
