TAWAU: Seorang lelaki patah ibu jari tangan kanan selepas dilanggar sebuah kenderaan yang mengundur di sebuah stesen minyak di Jalan Kuhara, di sini, pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 5.50 petang itu, mangsa warga tempatan berusia 59 tahun sedang membasuh tangan di kawasan pam angin dan air.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, siasatan awal mendapati Perodua Viva itu dipandu seorang lelaki berusia 61 tahun yang datang untuk mengisi angin tayar keretanya.
Beliau berkata, hos pam angin tidak dapat mencapai tayar hadapan sebelah kiri menyebabkan pemandu masuk semula ke dalam kereta untuk mengubah kedudukan kenderaan.
“Ketika cuba mengundur, pemandu dipercayai secara tidak sengaja terpijak pedal minyak hingga mengakibatkan kereta bergerak ke belakang secara mengejut.
“Kenderaan itu kemudian melanggar mangsa yang sedang membasuh tangan di belakang kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosdi berkata, mangsa mengalami patah ibu jari tangan kanan, sementara pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan ketika mengundur.
“Polis sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan sedang mengesan saksi lain bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Video kejadian berdurasi 21 saat turut tular di media sosial, memaparkan mangsa sedang membasuh tangan sebelum dilanggar kereta yang mengundur.-DAKWAT RAKYAT POST
