PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), YDH CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily bin Mohd Zain, kembali menjalankan tugas hari ini selepas bercuti pada minggu lalu.
Beliau memulakan tugasan dengan mempengerusikan Mesyuarat Commander’s Call Bil. 3/2026 yang menghimpunkan semua pegawai kanan dan Komander Pintu Masuk AKPS, di sini, pada 2 November 2026.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada Gerak Atur 2027, khususnya dalam memperkukuh hala tuju strategik, kesiapsiagaan operasi serta keberkesanan kawalan dan perlindungan sempadan negara.
Perbincangan itu turut memberi penekanan kepada usaha memperkemas gerak kerja agensi bagi memastikan pelaksanaan agenda strategik tahun depan berjalan lancar dan berkesan.
AKPS dalam kenyataan sama menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kecekapan pengoperasian, integriti serta keselamatan di semua pintu masuk negara.
Kepimpinan dan penyelarasan berterusan di peringkat pengurusan tertinggi dilihat penting dalam memastikan misi kawalan serta perlindungan sempadan negara terus diberi perhatian.-DAKWAT RAKYAT POST
