KOTA KINABALU: Seramai 36 individu ditahan selepas didapati positif dadah dalam serbuan polis di sebuah pusat hiburan di pusat bandar raya ini, awal pagi semalam.
Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah itu dijalankan dari jam 2 pagi hingga 6.30 pagi, dengan 81 individu diperiksa.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati 36 individu positif dadah, manakala 45 lagi negatif.
“Semua 36 individu terbabit ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis turut merampas dadah jenis ketamin dan cecair ekstasi yang dianggarkan bernilai RM1,800,” katanya.
Menurutnya, operasi itu sebahagian daripada usaha berterusan JSJN Sabah membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah, khususnya di pusat hiburan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya menjauhi dadah kerana penyalahgunaannya bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh menjejaskan kesihatan dan masa depan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran atau penyalahgunaan dadah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah berkenaan.-DAKWAT RAKYAT POST
