KUDAT: Seorang wanita dan seorang lelaki ditahan polis dalam operasi membanteras kegiatan dadah di daerah ini, kira-kira jam 12.30 tengah malam, 2 November lalu.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Haji Ibrahim berkata, pemeriksaan lanjut terhadap suspek wanita menemukan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat kasar 50.62 gram.
Beliau berkata, nilai rampasan dadah itu dianggarkan RM5,000.
Menurutnya, hasil saringan awal air kencing mendapati suspek wanita positif amphetamine/methamphetamine, manakala suspek lelaki negatif.
Semakan rekod jenayah lampau mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kedua-dua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala permohonan reman selama tujuh hari telah dibuat terhadap kedua-dua suspek bagi membantu siasatan.
Mohd Haris berkata, pihak polis akan terus mempergiat usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah Kudat.
Beliau turut menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu membanteras jenayah dadah serta menjaga keselamatan dan kesejahteraan komuniti.-DAKWAT RAKYAT POST
