LAHAD DATU: Usaha mempromosikan potensi pelancongan Lahad Datu perlu dipergiat menerusi kerjasama pelbagai pihak bagi menjadikan daerah itu antara destinasi pilihan pelancong domestik dan antarabangsa.
Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Dr. Haji Mohammad Yusof Apdal menerusi wakilnya, Pegawai Perhubungan, Haji Salleh Jainani berkata, beliau menyokong penganjuran Mistical Bayu 2026 yang disifatkan sebagai platform penting untuk memperkenalkan keunikan serta tarikan pelancongan daerah berkenaan.
Menurutnya, Lahad Datu memiliki pelbagai lokasi menarik dan keistimewaan tersendiri yang berpotensi dibangunkan sebagai produk pelancongan, namun memerlukan promosi lebih meluas bagi meningkatkan kehadiran pengunjung.
Katanya, berdasarkan pemerhatian, sektor pelancongan Lahad Datu masih belum menerima perhatian setanding destinasi lain di Sabah seperti Kota Kinabalu, Kundasang, Semporna dan Kinabatangan.
Beliau berkata, Semporna misalnya menjadi tumpuan pelancong dari Korea Selatan, China dan Jepun, manakala Kinabatangan pula menarik kehadiran pelawat dari Eropah serta Amerika Syarikat.
Sehubungan itu, beliau berharap pengamal media dan penggiat media sosial dapat memainkan peranan lebih aktif dalam mengetengahkan keistimewaan serta tarikan pelancongan Lahad Datu kepada masyarakat luar.
Menurutnya, publisiti yang lebih meluas dan berterusan penting bagi meningkatkan pengiktirafan terhadap daerah itu sekali gus memastikan Lahad Datu tidak ketinggalan dalam persaingan industri pelancongan negeri.
Tambahnya, pembangunan sektor pelancongan bukan sahaja mampu meningkatkan daya tarikan daerah berkenaan, malah berpotensi merancakkan ekonomi setempat serta membuka lebih banyak peluang pendapatan kepada masyarakat.
Beliau turut berharap kerjasama antara penganjur, komuniti tempatan, pengusaha pelancongan dan pengamal media dapat terus diperkukuh bagi mengangkat Lahad Datu sebagai destinasi pelancongan berpotensi di Sabah.-DAKWAT RAKYAT POST
