RANAU: Seorang penunggang motosikal berusia 29 tahun cedera selepas motosikal ditunggangnya merempuh bahagian kanan sebuah lori pembancuh simen ketika cuba memotong kenderaan di Kilometer 4, Jalan Ranau-Telupid, berhampiran Stesen Minyak Petronas Kilimu, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian tumit kaki kiri sebelum dihantar ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan bergerak dari arah sama, iaitu dari Lohan menuju ke Ranau.
Menurutnya, kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal jenis Aveta Ranger dipercayai cuba memotong dari sebelah kanan ketika lori berkenaan sedang membelok ke kanan untuk memasuki simpang Stesen Minyak Petronas Kilimu.
“Ketika lori berkenaan sedang membelok, motosikal yang datang dari arah belakang dipercayai gagal mengelak lalu merempuh bahagian tepi kanan kenderaan berat itu.
“Akibat perlanggaran berkenaan, penunggang motosikal mengalami kecederaan pada tumit kaki kiri dan dibawa ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, pemandu lori berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000 serta penjara tidak melebihi 12 bulan.
Mursalin turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, khususnya ketika memotong kenderaan berat atau menghampiri kawasan persimpangan.
Katanya, pemandu dan penunggang motosikal perlu memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum memotong serta mematuhi peraturan jalan raya, termasuk tidak mengambil risiko memotong di kawasan garisan berkembar atau berhampiran simpang.
Terdahulu, rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan kejadian motosikal merempuh lori simen berkenaan tular di media sosial.
Video itu menunjukkan lori sedang membelok ke kanan untuk memasuki stesen minyak sebelum sebuah motosikal dari arah belakang merempuh bahagian tepi kenderaan berat terbabit.-DAKWAT RAKYAT POST
