ROME (REUTERS) – Menteri-menteri Luar Kumpulan Tujuh (G7) yang akan mengadakan mesyuarat di Paris pada Isnin dan Selasa akan membincangkan serangan siber terbaharu yang disyaki dilakukan oleh kumpulan pro-Rusia, kata Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, pada Ahad.
“(Menteri Luar Perancis, Jean-Noel) Barrot menerima cadangan saya supaya isu ini dimasukkan dalam agenda. Oleh itu, esok dan lusa kita akan membincangkannya,” kata Tajani ketika memberikan taklimat di kementeriannya.
Pada Sabtu, menteri Itali itu berkata data peribadinya telah diterbitkan di laman web gelap (dark web) oleh pihak yang didakwanya sebagai penggodam pro-Rusia. Beliau turut menambah bahawa tindakan itu mempunyai kaitan dengan sokongan kerajaan Itali terhadap Ukraine.
Beliau menyatakan bahawa beberapa insiden “peperangan hibrid” telah berlaku di seluruh Eropah dan juga di Amerika Selatan sejak beberapa hari lalu. Negara-negara G7 akan membincangkan kemungkinan melaksanakan inisiatif bersama bagi menangani ancaman berkenaan.
Bagaimanapun, Tajani tidak secara langsung menuduh kerajaan Rusia bertanggungjawab terhadap serangan siber itu.
“Saya mengatakan bahawa penggodam berkenaan adalah pro-Rusia. Saya tidak mengatakan bahawa kerajaan Rusia bertanggungjawab. Sekiranya saya mempunyai bukti penglibatan kerajaan Rusia, saya akan menyatakannya,” katanya.
Kredit sumber: REUTERS
