Screenshot
KAHERAH: Sekurang-kurangnya tujuh orang maut manakala lebih 100 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta api berhampiran bandar Giza, Mesir.
Pihak Berkuasa Kereta Api Mesir memaklumkan, dua kereta api yang dalam perjalanan ke arah selatan dari Giza dan Kaherah bertembung, menyebabkan beberapa gerabak tergelincir daripada landasan sebelum terjunam ke lereng tebing.
Imej dari lokasi kejadian menunjukkan orang ramai memeriksa gerabak yang terbalik bagi mencari penumpang yang cedera, ketika operasi menyelamat besar-besaran dilancarkan.
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi berkata, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian serta mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai.
Pejabat Pendakwa Raya Mesir turut memberi amaran bahawa jumlah korban berkemungkinan meningkat.
Kerajaan memaklumkan, hospital di kawasan berkenaan telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi kemasukan mangsa dalam jumlah besar.
Menteri Kesihatan Mesir, Dr Khaled Abdel Ghaffar berkata, mangsa yang cedera sedang menerima rawatan akibat patah tulang dan kecederaan di kepala.
Bulan Sabit Merah Mesir turut menyalurkan bantuan serta sokongan psikologi kepada mangsa dan ahli keluarga mereka di lokasi kejadian.
Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa pemandu salah sebuah kereta api turut terkorban dalam nahas berkenaan.
Kereta api pertama yang terlibat dalam kemalangan itu sedang dalam perjalanan dari Giza ke Fayoum, di selatan Kaherah, sebelum merempuh bahagian belakang sebuah lagi kereta api yang dalam perjalanan dari Kaherah menuju Aswan dan ketika itu berhenti di landasan.
Beberapa imej dari lokasi kejadian menunjukkan gerabak kereta api terbalik, malah terdapat sebuah gerabak yang dilihat terbelah dua.
Perkhidmatan kereta api antara Giza dan wilayah Mesir Hulu digantung sementara, manakala kren dikerahkan bagi mengalihkan bangkai kereta api yang remuk. Bagaimanapun, pihak berkuasa belum memaklumkan tempoh yang diperlukan untuk menyelesaikan kerja-kerja berkenaan.
Perlanggaran itu berlaku di kawasan antara stesen Kafr Ammar dan Al-Raqqa di Al-Ayyat, berhampiran lokasi tragedi kereta api paling dahsyat dalam sejarah Mesir yang berlaku pada Februari 2002.
Dalam kejadian itu, kebakaran memusnahkan sebuah kereta api penumpang yang dalam perjalanan dari Kaherah ke Luxor, mengorbankan lebih 370 orang berdasarkan angka rasmi, manakala beberapa anggaran lain meletakkan jumlah korban jauh lebih tinggi.
Dua lagi kemalangan kereta api di kawasan berkenaan pada 2009 turut mengorbankan puluhan nyawa.
Susulan tragedi terbaharu itu, desakan supaya Menteri Pengangkutan Mesir meletakkan jawatan turut disuarakan pada Ahad.
Pemimpin dan kenamaan antarabangsa turut menyampaikan ucapan takziah serta sokongan kepada mangsa dan keluarga mereka.
Kementerian Luar Arab Saudi menyatakan solidariti bersama Mesir serta mendoakan agar semua mangsa yang cedera segera pulih.
Duta Turkiye ke Mesir menerusi platform X pula menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa, keluarga mereka serta seluruh rakyat Mesir.-BBC NEWS
