MACHANG: Seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Lalang Luas, Joh, Labok, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar bin Md Nor berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang kira-kira jam 3.45 petang, 9 November lalu.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi menemukan lima peket plastik mengandungi keseluruhan 1,000 pil yang disyaki dadah, terdiri daripada 990 pil berwarna merah dan 10 pil berwarna hijau.
Rampasan berkenaan mempunyai anggaran berat kasar 106.70 gram dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM10,000.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati positif dadah.
Semakan rekod lampau turut mendapati lelaki berkenaan mempunyai dua rekod berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki mengedar dadah.
Permohonan reman terhadap suspek dijadualkan dibuat di hadapan Majistret Machang pada 10 November 2026 bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Azuhar berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan suspek berkaitan barang kes yang dirampas.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah yang boleh mendatangkan pelbagai kemudaratan.
PDRM Machang akan terus mempergiatkan usaha membanteras jenayah narkotik, manakala orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan berkenaan diminta menyalurkannya kepada balai polis berhampiran.-DAKWAT RAKYAT POST
