IPOH: Lelaki warga Singapura ditahan bersama bagasi berisi ketulan mampat dadah mengandungi 19 kilogram (kg) daun kering bunga ganja bernilai RM1.52 juta, di kaunter daftar masuk Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata pemeriksaan bagasi berzip yang dibawa suspek berusia 29 tahun itu menemukan 36 bungkusan plastik lutsinar yang setiap satu mengandungi ketulan daun kering jenis bunga ganja seberat 19.04kg.
Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan anggota polis bantuan LTSAS mengesan bagasi terbabit dalam keadaan mencurigakan semasa pemeriksaan dijalankan ke atas bagasi penumpang.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang juga penganggur menaiki penerbangan dari Singapura ke Kuala Lumpur dan bermalam serta memperoleh beg berisi dadah berkenaan di di Kajang, Selangor sebelum berlepas ke Ipoh, Sabtu lalu.
Beliau berkata, suspek pada mulanya ditawarkan pekerjaan melalui laman web yang menjanjikan bayaran S$4,000 (RM12,680) bagi membawa bagasi yang didakwa kononnya mengandungi barangan tiruan berjenama mewah ke London.
“Suspek dijadualkan menaiki penerbangan dari Ipoh (LTSAS) ke Singapura sebagai lokasi transit sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi akhir iaitu London,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Mohd Alwi berkata, saringan awal mendapati suspek negatif dadah, selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman tujuh hari sehingga 14 November ini.
Katanya, modus operandi sindiket dadah dengan menawarkan pekerjaan dengan upah mahal bagi memperalatkannya sebagai keldai dadah.
“Menjadi satu trend sekarang apabila sindiket dadah menggunakan lapangan terbang yang kurang sibuk seperti di Ipoh ini,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
