KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras insiden serangan membabitkan seorang warga asing terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas di Kepong.
Perkara itu dinyatakan Anwar menerusi satu hantaran di Facebook beliau sebagai mengulas insiden serangan berkenaan. Beliau turut mendoakan agar anggota polis yang terlibat diberikan kesembuhan segera susulan kejadian itu.
Anwar menegaskan bahawa sebarang bentuk jenayah dan keganasan, khususnya perbuatan yang menyasarkan anggota penguat kuasa ketika melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan masyarakat, tidak boleh diterima sama sekali.
Menurut beliau, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap mana-mana individu yang melakukan jenayah tanpa mengira latar belakang atau status mereka.
Katanya, ketegasan dalam menangani perbuatan sedemikian penting bagi memastikan kedaulatan undang-undang terus dipertahankan, selain menjamin keselamatan anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas. – Dakwat Rakyat Post
