KUALA LUMPUR: Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman antara tunjang paling penting dalam melumpuhkan sindiket pengedaran dadah utama, berbanding hanya sekadar menangkap penagih serta pengedar jalanan.
Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pegawai bahagian itu yang melakukan tugas menyamar memainkan peranan penting dalam mengumpul maklumat risikan, mengenal pasti rangkaian sindiket dan memastikan operasi berskala besar berjaya dilaksanakan.
Beliau berkata, usaha memperkukuh keupayaan jabatan itu sama pentingnya, dengan JSJN kini memohon pertambahan 1,000 perjawatan bagi mengatasi masalah kekurangan anggota selain memperluas operasi penguatkuasaan serta siasatan.
Cadangan berkenaan, katanya, sudah mendapat kelulusan dasar daripada Kabinet pada bulan lalu dan memerlukan perbincangan lanjut bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum perjawatan itu dimuktamadkan.
Beliau menjelaskan bahawa sifat tugas risikan menyebabkan anggotanya sering beroperasi di sebalik tabir, tanpa meraih pengiktirafan terbuka masyarakat atas sumbangan mereka.
“Mereka adalah wira tidak didendang (unsung heroes). Mereka tidak boleh bertindak secara terbuka kerana sindiket dadah amat peka terhadap aktiviti penguatkuasaan.
“Mereka memerlukan kepakaran khusus dalam operasi penyamaran, penyamaran fizikal (camouflage) dan pengumpulan maklumat risikan.
“Tanpa Bahagian Risikan dan Operasi, kita tidak akan mampu membina kes-kes berprofil tinggi. Kita hanya akan sekadar menangkap penagih dadah atau tokan-tokan jalanan.
“Jika kita mahu membanteras sindiket, kita memerlukan pasukan risikan dan operasi yang sangat mantap,” katanya.
Hussein berkata demikian kepada pemberita pada majlis penghargaan untuk bahagian berkenaan, di mana pengiktirafan turut diberikan kepada agensi dan syarikat rakan kerjasama yang membantu polis dalam operasi, serbuan, rampasan serta tangkapan.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah JSJN (Risikan/Operasi), Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali dan Penolong Pengarah Kanan JSJN (Risikan/Operasi), Datuk Dr Jasmirol Jamaluddin.
Hussein mengambil contoh pembongkaran sebuah makmal haram pemprosesan dadah utama di Puncak Alam beberapa bulan lalu, sebagai bukti kepentingan bahagian berkenaan.
Operasi yang membabitkan dadah bernilai berbilion ringgit itu memerlukan kerja risikan selama berbulan-bulan sebelum pihak penyiasat berjaya mengesan fasiliti berkenaan dan menentukan waktu paling sesuai untuk bertindak.
“Kerja-kerja risikan mengambil masa beberapa bulan sebelum kami dapat mengenal pasti lokasi dan mengambil tindakan pada masa yang tepat demi menumpaskan sindiket berkenaan,” jelasnya.
Hussein turut memaklumkan bahawa JSJN merekodkan rampasan hampir 70 tan dadah dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, berbanding 89 tan sepanjang tahun lalu.
Walaupun jabatan itu menunjukkan perkembangan positif, beliau menegaskan bahawa usaha lebih gigih masih diperlukan untuk melumpuhkan bekalan dadah di Malaysia.
“Kita berada di landasan yang betul, namun kita perlu melakukan lebih banyak lagi usaha untuk memberikan impak yang lebih besar dalam mengurangkan sindiket dadah serta bekalan dadah di pasaran Malaysia.
“Selagi kita tidak melumpuhkan rangkaian sindiket ini, dadah akan terus berada di pasaran,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian – Disiarkan pada 11 November 2026
