MANIPUR: Sekurang-kurangnya 11 orang maut manakala hampir 200 lagi dimasukkan ke hospital selepas dipercayai mengambil minuman keras tercemar dalam kejadian di daerah Chandel, Manipur, India.
Kejadian yang berlaku dalam tempoh tiga hari itu mula dilaporkan pada 18 November lalu apabila dua individu disahkan meninggal dunia sebelum angka korban meningkat kepada 11 orang menjelang Jumaat.
Mangsa yang terjejas dilaporkan menerima rawatan di dua hospital di Imphal, iaitu Shija Hospital dan Babina Hospital.
Ketua Menteri Manipur, Yumnam Khemchand Singh, turut mengunjungi kedua-dua hospital berkenaan pada Jumaat bagi meninjau keadaan mangsa serta mendapatkan perkembangan terkini daripada pihak perubatan.
Menurut laporan media India, seramai 140 pesakit dirawat di Shija Hospital manakala 41 lagi menerima rawatan di Babina Hospital.
Ketua Menteri turut mengarahkan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta pihak yang bertanggungjawab, selain memastikan semua mangsa menerima rawatan sewajarnya.
Sementara itu, pihak berkuasa daerah memaklumkan punca sebenar kematian masih dalam siasatan perubatan dan saintifik.
Polis daerah Chandel turut menjelaskan bahawa minuman keras yang dipercayai diambil mangsa diperoleh dari Sugnu, daerah Kakching, dan bukannya dihasilkan di daerah Chandel.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa mengeluarkan nasihat kesihatan kepada orang ramai supaya mengelakkan pengambilan minuman beralkohol yang tidak diketahui sumber atau keselamatannya.
Orang ramai yang mengalami gejala seperti muntah, sakit perut, sakit kepala, pening, penglihatan kabur atau kesukaran bernafas selepas mengambil minuman berkenaan diminta mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar tragedi berkenaan.
Sumber: The Indian Express, NDTV
