OLEH: NASRAWATI SYARIFUDDIN
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki tempatan maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan yang dipercayai terbabas memasuki laluan bertentangan dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di Kilometer 3.5, Jalan Pantai, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 1.55 pagi itu, mangsa berusia 42 tahun dan memandu Toyota Vios mengalami kecederaan di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, siasatan awal mendapati sebuah Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 21 tahun dan Nissan Almera dipandu lelaki berusia 26 tahun sedang bergerak dari arah Pasir Gudang menuju ke pusat bandar Johor Bahru.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu Perodua Myvi dipercayai menukar lorong sebelum bergesel dengan Nissan Almera.
“Akibat perlanggaran itu, pemandu Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Toyota Vios yang datang dari arah pusat bandar Johor Bahru menghala ke Pasir Gudang.
“Pemandu Toyota Vios mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Fathihah Ismail di talian 010-417 1762.- DRP
