KULIM, 21 November 2026 – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyempurnakan Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Bersama Menteri Dalam Negeri Tahun 2026 bersempena sambutan Deepavali bersama masyarakat setempat di Dewan Sri Karumariamman, Lunas, Kedah, hari ini.
Majlis anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu turut dihadiri isteri Menteri Dalam Negeri merangkap Penaung PUSPANITA KDN, Datin Seri Datuk Norhayati Musa; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan), Datuk Makhzan Mahyuddin serta wakil daripada pelbagai agensi dan jabatan di bawah kementerian berkenaan.
Penglibatan beberapa agensi termasuk Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pendekatan pemulihan serta integrasi semula bekas banduan ke dalam masyarakat.
Pendekatan itu bukan sahaja memberikan penekanan terhadap pelaksanaan hukuman, malah turut memberi perhatian kepada pembentukan sahsiah, proses pemulihan dan peluang kedua kepada individu yang ingin membina kehidupan baharu sebagai anggota masyarakat yang produktif serta bertanggungjawab.
Antara pengisian utama majlis ialah penyerahan Surat Kewarganegaraan, Geran Sejati MADANI, Surat Tawaran Rumah Mesra Rakyat (RMR) serta surat kenaikan pangkat kepada balu Allahyarham Laskar Kanan Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Turut berlangsung ialah penyampaian Perintah Parol, Sijil Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL), sijil penghargaan kepada syarikat, Sumbangan Kasih Malaysia dan bakul makanan, selain penyerahan wang gaji Orang Diselia (ODS) kepada keluarga yang terlibat.
Dalam ucapannya, Saifuddin menegaskan kepentingan sokongan masyarakat, khususnya golongan majikan dan sektor swasta, bagi memastikan individu yang diberikan peluang kedua tidak terus disisihkan.
Sebaliknya, mereka perlu diberikan peluang dan ruang untuk kembali bekerja, memperbaiki kehidupan serta membina masa depan yang lebih baik selepas melalui proses pemulihan.
Sambutan Deepavali yang diraikan bersama masyarakat pelbagai latar belakang itu turut membawa mesej penting mengenai semangat perpaduan, keharmonian dan kebersamaan dalam kalangan rakyat.
KDN menegaskan bahawa aspek keselamatan, perpaduan dan kesejahteraan negara merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dipikul oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang.
Majlis berkenaan sekali gus mencerminkan usaha kerajaan mengimbangi aspek keselamatan dan penguatkuasaan dengan nilai kemanusiaan, kebajikan serta peluang pemulihan demi membina masyarakat yang lebih inklusif dan Harmoni. – DRP
