MALANG: Impian seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun untuk melanjutkan pengajian ke Korea Selatan tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa penderaan sekumpulan remaja perempuan di kawasan Perumahan Bulan Terang Utama (BTU), Kedungkandang, di sini, Rabu lalu.
Mangsa, Silva Nur Intania Putri, merupakan pelajar kelas XII Sekolah Menengah Atas Negeri (SMAN) 7 Kota Malang yang dikenali sebagai pelajar cemerlang dan mempunyai potensi akademik tinggi.
Malah, mangsa dilaporkan pernah menerima tawaran biasiswa bagi melanjutkan pengajian ke Korea Selatan sebelum insiden tragis itu berlaku.
Gabenor Jawa Timur, Khofifah Indar Parawansa berkata, perkara itu dimaklumkan ibu mangsa ketika beliau menziarahi keluarga berkenaan di kediaman mereka pada Jumaat.
Menurutnya, Silva turut mempunyai penguasaan baik dalam bahasa Jepun dan Inggeris selain menunjukkan kebolehan dalam mata pelajaran matematik.
Beliau menyifatkan pemergian mangsa sebagai satu kehilangan besar, khususnya ketika masa depan pelajar berkenaan masih terbuka luas.
Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku sekitar jam 8 malam, 25 November lalu, selepas mangsa dijemput dua remaja perempuan dari kediamannya di Jalan Setia, Kecamatan Blimbing.
Mangsa kemudian dibawa ke kawasan Perumahan Bulan Terang Utama sebelum dipercayai diserang beberapa remaja perempuan lain.
Berdasarkan keterangan penyiasat, seorang daripada mereka dipercayai menarik tangan mangsa sebelum dua remaja lain memukul kepala serta menendangnya berulang kali sehingga terjatuh.
Keadaan Silva dilaporkan semakin lemah dan tercungap-cungap selepas kejadian berkenaan.
Mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah rumah di kawasan Lesanpuro sebelum dibawa ke Hospital Lavalette selepas didapati tidak lagi bernafas.
Bagaimanapun, pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Polis Kota Malang menetapkan empat remaja perempuan sebagai kanak-kanak berhadapan dengan undang-undang (ABH) berhubung kejadian itu selepas proses siasatan dan gelar perkara pada 27 November lalu.
Ketua Polis Kota Malang, Kombes Danang Setiyo Pambudi Sukarno berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati salah seorang remaja terbabit terhadap mangsa.
Hasil pemeriksaan forensik awal pula mendapati punca kematian Silva ialah asfiksia atau kekurangan oksigen yang menyebabkan gangguan terhadap peredaran darah dan fungsi jantung.
Polis turut menemukan beberapa kesan kecederaan pada tubuh mangsa, termasuk lebam di bahagian kepala.
Keempat-empat remaja berkenaan disiasat mengikut Seksyen 80(1), (2) dan (3) bersama Seksyen 76C Undang-Undang Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia.
Sementara itu, Khofifah mengingatkan semua pihak supaya memberi perhatian serius terhadap isu buli dan keganasan dalam kalangan remaja, sama ada di sekolah mahupun di luar persekitaran sekolah.
Beliau menegaskan usaha melindungi kanak-kanak memerlukan kerjasama pihak sekolah, keluarga dan masyarakat bagi memastikan keselamatan serta kebajikan golongan itu sentiasa terpelihara.
Sumber: detikJatim
