RANAU, 28 November 2026 – Pembinaan struktur utama menara sementara bagi Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) di Ranau berjaya diselesaikan pada jam 1.45 tengah hari tadi, sekali gus membolehkan kerja pemulihan bekalan elektrik di kawasan terjejas diteruskan ke peringkat seterusnya.
Menurut laporan Bernama, Sabah Electricity memaklumkan pasukan teknikal kini memberi tumpuan kepada pemasangan lengan silang menara serta komponen sokongan sebelum kerja pemasangan kabel penghantaran dilaksanakan.
Perkembangan itu merupakan satu lagi kemajuan penting dalam usaha memulihkan laluan penghantaran elektrik yang menghubungkan kawasan Pantai Barat dengan Pantai Timur Sabah.
Sabah Electricity dalam kenyataannya berkata, keselamatan petugas terus menjadi keutamaan sepanjang proses pembinaan dan kerja pemulihan dilaksanakan bagi memastikan setiap peringkat berjalan dengan selamat.
Dalam perkembangan berkaitan, pasukan Grid System Operator (GSO) Sabah turut menjalankan pemantauan berterusan terhadap kestabilan sistem bekalan elektrik selama 24 jam sehari menerusi pusat kawalan syarikat berkenaan.
Susulan insiden membabitkan menara penghantaran T313, pasukan GSO turut mengambil langkah mengimbangi kapasiti penjanaan elektrik yang terhad dengan permintaan pengguna di Pantai Timur Sabah.
Syarikat itu menjelaskan pemantauan berterusan, ketepatan membuat keputusan serta kecekapan pengurusan sistem penting bagi memastikan kapasiti penjanaan sedia ada dapat digunakan secara optimum tanpa menjejaskan kestabilan bekalan elektrik.
Sabah Electricity turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan GSO atas dedikasi, profesionalisme dan komitmen mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sepanjang tempoh pemulihan berkenaan.
Untuk rekod, menara penghantaran elektrik T313 terletak di tebing Sungai Liwagu, Kampung Sagindai Lama, di Jalan Ranau-Telupid sebelum mengalami kerosakan apabila tapak asasnya terhakis akibat hujan berterusan serta arus deras banjir Sungai Liwagu.
Kejadian itu menjejaskan seramai 153,599 pengguna berdaftar. Sabah Electricity menyasarkan bekalan elektrik dapat dipulihkan menjelang 2 Disember ini atau lebih awal.
Orang ramai boleh mendapatkan perkembangan terkini menerusi laman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline atau menghubungi talian 15444, 088-515000 serta WhatsApp 019-8525427. – DRP
