Pemimpin akar umbi yang hadir menandatangani memorandam menyokong Datuk Hassan calon GRS DUN Sebatik
TAWAU: Pemimpin masyarakat dan jentera akar umbi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik sepakat menegaskan pendirian untuk mengekalkan Datuk Hassan A Gani Pg Amir sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Mereka turut bersepakat untuk menyerahkan memorandum khas kepada Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, sebagai bukti sokongan padu akar umbi terhadap kepimpinan Datuk Hassan di Sebatik.
Ketua Daerah Kalabakan, Salleh Tahir, berkata keputusan itu dicapai secara sebulat suara hasil perbincangan bersama Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKN), Ketua Masyarakat Cina (KMC), dan 20 Ketua Kampung di Sebatik.
“Kami semua bersetuju agar Datuk Hassan dikekalkan sebagai calon GRS kerana beliau telah banyak berjasa kepada masyarakat dan membawa perubahan besar di Sebatik sepanjang lima tahun menjadi wakil rakyat.
“Beliau bukan sahaja berjaya melaksanakan pelbagai projek pembangunan, malah berperanan menyatukan masyarakat pelbagai kaum di kawasan ini,” katanya dalam sidang media, semalam.
Salleh berkata, memorandum berkenaan akan diserahkan kepada Datuk Seri Hajiji dalam masa terdekat sebagai tanda komitmen padu dan kepercayaan rakyat Sebatik terhadap kepimpinan Datuk Hassan.
Sementara itu, Setiausaha Bahagian Gagasan Rakyat DUN Sebatik, Abd Mansah Abd Samad, berkata jentera parti turut bersatu menyokong penuh Datuk Hassan berdasarkan pencapaian beliau yang berjaya memperkukuh struktur dan pengaruh Gagasan Rakyat di kawasan itu.
“Ketika beliau mula menjadi wakil rakyat, parti ini bermula dari sifar. Kini Gagasan Rakyat Sebatik mempunyai 7,041 ahli dengan 174 cawangan aktif, hasil kerja keras dan kesungguhan Datuk Hassan sendiri,” katanya.
Menurutnya, Datuk Hassan juga banyak membantu rakyat luar bandar menerusi pelbagai inisiatif pembangunan termasuk baik pulih jalan, kemudahan asas, serta program peningkatan ekonomi tempatan.
“Kami percaya, sekiranya calon lain dicalonkan, ia mungkin menjejaskan kestabilan sokongan akar umbi kepada GRS di Sebatik. Datuk Hassan sudah terbukti diterima masyarakat dan berpengalaman memimpin,” katanya.
Abd Mansah menambah, seluruh jentera Gagasan Rakyat di Sebatik berharap kepimpinan tertinggi GRS mendengar suara akar umbi yang mahu Datuk Hassan terus diberi mandat demi kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik di kawasan berkenaan.
“Datuk Hassan telah membuktikan kewibawaannya, dan kami percaya beliau masih calon terbaik untuk meneruskan perjuangan GRS di Sebatik,” katanya.
