Screenshot
SANDAKAN-Ketua Bahagian Parti Warisan Sandakan Calvin Chong Ket Kiun berharap rakyat Sabah memberikan sokongan kepada Warisan sebagai parti pemerintah menjelang Pilihan Raya Negeri Ke 17 pada 29 November ini.
Calvin yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan berkata Warisan adalah parti tempatan yang sentiasa membela nasib rakyat serta memperjuangkan hak hak Sabah termasuk tuntutan berhubung Perjanjian Malaysia 1963.
Beliau menegaskan perjuangan Warisan tidak pernah berhenti dan parti itu akan terus bangkit bagi memastikan agenda mengembalikan hak rakyat Sabah termasuk royalti minyak dua puluh peratus dapat direalisasikan.
Calvin berkata demikian kepada wakil Awani Borneo selepas menghadiri Majlis Siri Ceramah Warisan Bahagian Sandakan yang diadakan di Jambatan Dua Puluh Tiga Kampung Sim Sim Sandakan pada Khamis.
Mantan Adun Elopura itu turut menjelaskan bahawa Warisan di kawasan Tanjong Papat bukanlah baharu berkhidmat sebaliknya sudah lama turun padang menyantuni rakyat.
Katanya pelbagai isu pembangunan infrastruktur termasuk keadaan Jalan Singapura Pasar Umum dan Kampung Sim Sim telah diberikan perhatian hasil aduan penduduk yang disalurkan kepada Warisan.
Dalam majlis itu Calvin turut menerima borang keahlian daripada kira kira seratus individu daripada Parti DAP yang menyertai Warisan bagi kawasan Tanjong Papat.
