Kota Kinabalu-Parti Warisan menegaskan bahawa Datuk Suhaimi Haji Nasir perlu berpijak pada fakta sebelum membuat tuduhan berkaitan pinjaman RM300 juta kepada AirAsia dan isu tambang penerbangan bagi pengundi Sabah.
Menurut kenyataan media Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan,Alias Sani, AirAsia ialah syarikat penerbangan swasta dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak mempunyai sebarang hubungan kepentingan atau pengaruh terhadap operasi syarikat berkenaan termasuk penetapan harga tambang. Dakwaan yang cuba mengaitkan beliau dengan dasar tambang AirAsia disifatkan sebagai tidak berasas.
Menurutnya AirAsia sendiri telah menawarkan tambang promosi kepada rakyat Sabah yang pulang mengundi dan ia merupakan inisiatif terbuka syarikat tersebut, bukan arahan atau campur tangan mana-mana pihak termasuk Presiden Warisan.
Berhubung pinjaman RM300 juta yang diberikan ketika pandemik, Warisan menegaskan pinjaman itu telah dibayar semula dan bukan pinjaman bermasalah. Ketika itu seluruh industri penerbangan hampir lumpuh dan sokongan kerajaan negeri membantu mengelakkan syarikat berkenaan daripada gulung tikar.
Hasilnya dapat dilihat hari ini apabila AirAsia mengekalkan lebih seribu pekerja di Sabah dan menambah 14 laluan penerbangan antarabangsa baharu merangkumi China Vietnam Jakarta Jepun Singapura dan Manila yang memberi impak besar kepada ekonomi negeri.
Warisan mempersoalkan tindakan Suhaimi yang mempertikaikan pinjaman RM300 juta yang telah dibayar tetapi berdiam diri mengenai pinjaman RM700 juta kepada SDB yang dilupuskan ketika Barisan Nasional memerintah.
Menurut parti itu perkara berkenaan menunjukkan ketidakseimbangan dalam kritikan Suhaimi selain memberi gambaran seolah olah isu yang dibangkitkan tidak berlandaskan fakta sebenar.
Warisan menegaskan sebarang kenyataan mengenai tambang penerbangan perlu dibuat secara bertanggungjawab dan tidak dijadikan alat meraih keuntungan politik menjelang pilihan raya negeri.
