Lokasi mangsa dikatakan mandi sebelum disambar buaya.
BELURAN: Hasrat seorang warga emas untuk mandi di sungai berakhir tragis apabila ditemui maut dipercayai dibaham buaya di Sungai Trusan Sapi, Kampung Bakong-Bakong Sapi, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 62 tahun itu dikatakan keluar mandi seorang diri di sungai berkenaan kira-kira jam 8 malam, Ahad lalu, namun tidak pulang ke rumah seperti biasa.
Bimbang sesuatu terjadi, ahli keluarga bersama penduduk kampung segera melancarkan pencarian di sekitar sungai, namun gagal menemui sebarang petunjuk sebelum menghubungi pihak berkuasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.19 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi sejauh 74 kilometer.
“Penduduk kampung turut membantu usaha mencari menggunakan bot dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai mandi.
“Mangsa akhirnya ditemui dalam keadaan tidak sempurna kira-kira beberapa meter dari tempat dia dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi ditamatkan pada jam 2 petang selepas memastikan kawasan selamat.
