KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa keputusan dua bekas pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah yang kini bertanding sebagai calon Parti Keadilan Rakyat merupakan hak demokratik yang wajar dihormati.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah itu berkata setiap individu dalam sistem politik bebas menentukan parti yang ingin diwakili dan perkara itu menggambarkan amalan demokrasi yang matang di Sabah.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Datuk Jamawi Jaafar dan Datuk George Hiew yang sebelum ini merupakan pemimpin Gagasan Rakyat tetapi kini dinamakan sebagai calon PKR.
Menurut Haji Hajiji, perkembangan itu tidak menimbulkan masalah kepada GRS atau Gagasan Rakyat kerana ia mencerminkan keunikan landskap politik negeri.
Beliau menjelaskan bahawa kedua-duanya kini secara rasmi adalah calon PKR dan tidak lagi mewakili Gagasan Rakyat, selain menegaskan bahawa keputusan mereka adalah hak yang harus dihormati.
Haji Hajiji berkata Gagasan Rakyat tetap akan memberikan sokongan kepada mereka sebagai calon daripada komponen Kerajaan Perpaduan.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tindakan Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick yang melepaskan jawatan dalam Kabinet Persekutuan, Haji Hajiji enggan mengulas lanjut. Beliau hanya menyebut bahawa Kerajaan Negeri sudah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu dan menghormati keputusan Kerajaan Persekutuan sama ada untuk merayu atau tidak.
Terdahulu, Ketua Menteri menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Negeri dan Maybank bagi pembiayaan projek Ekonomi Biru di Sabah.
