TAWAU: Seorang tokoh penerbangan kelahiran Tawau dikatakan sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan kerjaya korporat bagi kembali ke Sabah dan menyertai Parti Warisan menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah hujung bulan ini menurut sumber yang rapat dengan perkembangan tersebut.
Sumber parti mendakwa Datuk Captain Chester Voo yang kini memegang jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Operasi Penerbangan AirAsia Aviation Group dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia telah mengadakan beberapa perbincangan tidak rasmi dengan pimpinan kanan Warisan sejak beberapa minggu lalu.
Menurut sumber, Voo dikatakan sedang meneliti kemungkinan terjun ke dunia politik kerana mahu melakukan sesuatu untuk Sabah serta memberi sumbangan kepada pengukuhan ekonomi negeri selepas lebih tiga dekad berkhidmat dalam industri penerbangan.
Beliau memang pernah menyuarakan hasrat untuk kembali berbakti kepada Sabah kata salah seorang sumber.
Sumber lain menyatakan Warisan melihat Voo sebagai calon teknokrat yang berpotensi berikutan pengalaman luas beliau dalam bidang pengawalseliaan dan operasi serta reputasinya sebagai figura profesional yang bersih. Bagaimanapun parti itu belum mengeluarkan sebarang pengesahan rasmi setakat ini.
Pihak AirAsia juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kedudukan Voo atau kemungkinan langkah karier baharu beliau.
Buat masa ini baik Voo mahupun pimpinan Warisan memilih untuk berdiam diri sekaligus mencetuskan lebih banyak spekulasi dalam kalangan pemerhati politik Sabah.
