KOTA KINABALU: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun cedera selepas tercampak ke dalam gaung sedalam 10 meter dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal di Jalan Kokol, Kampung Kokol petang Isnin.
Dalam kejadian sekitar 6.13 petang itu, motosikal Honda Vario yang dinaiki mangsa bersama seorang lelaki berusia 20 tahun dipercayai terbabas sendiri sebelum kedua-duanya terjatuh ke dalam gaung berhampiran jalan berkenaan.
Penunggang motosikal berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum pasukan Bomba dan Penyelamat tiba di lokasi. Remaja perempuan itu bagaimanapun berada di dasar gaung dan memerlukan operasi menyelamat menggunakan peralatan tali dan stretcher.
Komander Operasi PBK I Mohd Hasrulnizam Mohd Zain berkata pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas tiba di lokasi pada jam 6.50 petang setelah menempuh jarak kira kira 17 kilometer melalui keadaan jalan sesak.
Beliau berkata mangsa perempuan berjaya dibawa naik dengan selamat sebelum diberikan rawatan awal di tempat kejadian. Kedua dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I menggunakan jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut.
Operasi membabitkan sembilan anggota itu ditamatkan pada jam 7.25 malam selepas pasukan bomba memastikan kawasan berkenaan selamat dan tiada risiko lain di lokasi.
