KOTA KINABALU : Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor memaklumkan Keluaran Dalam Negeri Kasar Sabah meningkat daripada RM77.80 bilion pada 2020 kepada RM84.30 bilion pada 2024 sekali gus tertinggi dalam tempoh pasca covid 19.
Beliau berkata pencapaian ini mencerminkan keberkesanan dasar fiskal kerajaan negeri khususnya melalui pengurusan hasil yang berhemat dan kutipan yang efisien di sebalik cabaran geopolitik ketidaktentuan komoditi serta kelembapan ekonomi antarabangsa.
Bagi 2025 dan 2026 momentum pertumbuhan dijangka terus mengukuh menerusi pelaksanaan projek berimpak tinggi dengan unjuran peningkatan sekitar 1.5 peratus hingga 2 peratus katanya pada Konvensyen Penjawat Awam Sabah 2025 di SICC.
Hajiji turut memaklumkan kadar inflasi negeri pada 2024 berada pada paras 1.2 peratus lebih rendah berbanding kadar nasional iaitu 1.8 peratus. Antara inisiatif yang membantu ialah pakej skim pinjaman kredit mikro untuk usahawan kecil dan sederhana berjumlah RM2.37 juta membabitkan 1,210 permohonan setakat ini.
Memasuki Rancangan Malaysia Ketiga Belas bermula 2026 hingga 2030 Sabah kekal antara penerima peruntukan pembangunan tertinggi dengan RM6.9 bilion bagi 2026. Pada 4 Jun 2025 Kabinet Negeri meluluskan siling perbelanjaan pembangunan RM12.02 bilion merangkumi 1,173 program dan projek yang disifatkan sebagai tertinggi dalam sejarah negeri.
Bagi memperkukuh kecekapan penyampaian kerajaan membangunkan polisi Amalan Baik Peraturan bagi meningkatkan kualiti peraturan dan menoktahkan peraturan yang tidak efektif. Dalam tempoh lima tahun sebanyak 48 rang undang undang pindaan dan baharu diperkenalkan.
Dari segi integriti Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah ditubuhkan pada 26 Julai 2022 untuk memacu pematuhan integriti. Pendigitalan perkhidmatan turut menjadi teras melalui Sabah Data Integration and Interchange Platform di bawah Pelan Strategik Pendigitalan Kerajaan Negeri. Setakat ini terdapat lebih 10 ribu akaun aktif Google Workspace untuk penjawat awam selain 290 projek sistem aplikasi yang telah siap dan 53 projek pendigitalan perkhidmatan awam yang sedang dilaksana.
Mengulas pelaburan negeri beliau berkata prestasi sejak 2021 hingga suku kedua tahun ini menunjukkan keyakinan pelabur dengan kemasukan RM24.9 bilion dalam sektor pembuatan melibatkan 87 pelabur asing dan domestik. Antara pelaburan bernilai tinggi ialah SK Nexilis berjumlah RM4.29 bilion SBH Kibing Solar RM3.43 bilion serta Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd dengan fasa pertama RM6.59 bilion. PETRONAS turut membuka operasi di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang yang menandakan kehadiran pelaburan domestik dan antarabangsa.
Beliau menjelaskan pelaburan tersebut mewujudkan lebih 38 ribu peluang pekerjaan untuk anak Sabah. Dalam sektor minyak dan gas persepakatan Perjanjian Kerjasama Komersial antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS pada 7 Disember 2021 membuka era baharu dengan Sabah Energy Corporation dilantik sebagai pembekal dan pengangkut gas utama. Kapasiti gas domestik kini melebihi 250 juta kaki padu sehari dengan hasil industri dijangka melebihi RM2.5 bilion setahun.
SMJ Energy Sdn Bhd milik penuh Kerajaan Negeri pula meningkat nilai kepada RM5 bilion dalam tempoh tiga tahun dengan aset RM4.9 bilion dan keuntungan RM307 juta.
Dalam sektor pertanian antara kejayaan dicapai ialah pelaburan RM620 juta oleh Linaco Resources Sdn Bhd untuk penanaman kelapa dan industri hiliran.
Hajiji menegaskan bahawa pelaksanaan Hala Tuju SMJ 1.0 sepanjang lima tahun ini merentasi pelbagai sektor telah menunjukkan kemajuan dan kejayaan yang dianggap di luar dugaan.
