Datuk Saharuddin ketika menyambut Dr. Andi di Lapangan Terbang Tawau.
TAWAU: Pemilihan Dr. Andi Mohd Shamsureezal Mohd Sainal sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu dibuat sepenuhnya atas keputusan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, sekali gus menamatkan segala spekulasi mengenai calon bagi kawasan tersebut.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tanjung Batu, Datuk Saharuddin Salleh, berkata keputusan itu diterima dengan penuh hormat dan disokong sepenuhnya oleh bahagian serta seluruh jentera parti.
“Ya, calon untuk DUN Tanjung Batu sudah diputuskan oleh Presiden Parti sendiri. Jadi apabila presiden sudah buat keputusan, kita akur dan kita akan buat yang terbaik demi kemenangan GRS di Tanjung Batu,” katanya ketika ditemui semalam.
Beliau menegaskan bahawa tidak wujud sebarang pengaruh luar dalam pemilihan calon, sebaliknya keputusan dibuat berdasarkan keyakinan pucuk pimpinan terhadap kemampuan Dr. Andi untuk membawa kemenangan serta meneruskan khidmat kepada rakyat.
Menurutnya, walaupun pada awalnya terdapat sedikit kekeliruan dalam kalangan jentera, namun semuanya sudah kembali seia sekata dan komited mendukung keputusan parti.
“Memang pada mulanya ada yang sukar menerima, tapi sekarang semuanya sudah bersatu dan komited bekerja untuk calon kita,” katanya.
Saharuddin turut menepis dakwaan kononnya Dr. Andi tidak turun padang sebelum ini, menegaskan bahawa calon berkenaan sebenarnya sudah lama dikenali jentera tempatan dan pernah bekerjasama dengan kepimpinan di peringkat bahagian.
“Cerita dia tidak turun padang itu tak betul. Kita kenal beliau, malah ramai yang sudah biasa bekerja dengan dia sebelum ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Dr. Andi ketika ditemui meluahkan penghargaan atas kepercayaan diberikan pucuk pimpinan terhadap dirinya.
Beliau turut bertekad untuk membawa agenda baharu sekiranya diberi mandat oleh rakyat, termasuk memperkukuh aspek kesihatan dan kebajikan, mengangkat suara anak muda ke Dewan Undangan Negeri serta mempercepat pendigitalan ekonomi setempat.
“Jika diberi kepercayaan, saya akan pastikan penduduk Tanjung Batu mendapat manfaat yang lebih baik dan suara anak muda didengari,” katanya.
