Screenshot
KOTA BELUD: Anak Sabah yang membeli rumah pertama bakal menerima bantuan deposit percuma sekiranya Gabungan Rakyat Sabah GRS diberi semula mandat mentadbir negeri pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah PRU DU Sabah Ke17 pada 29 November ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata perancangan itu antara inisiatif utama kerajaan GRS bagi meringankan beban rakyat khususnya golongan muda yang mahu memiliki kediaman sendiri.
Beliau berkata pembeli rumah berharga di bawah RM500 ribu lazimnya perlu menyediakan deposit antara lima hingga 10 peratus dan inisiatif itu akan memberi kelegaan besar kepada pembeli rumah pertama yang layak.
Dalam ucapannya pada Program Jelajah Rumah Kita Kita Jaga GRS untuk kawasan DUN Tempasuk dan Usukan di kediaman Datuk Japlin Akim di sini, Hajiji turut mengumumkan perancangan bantuan bulanan kepada rakyat Sabah berumur 60 tahun ke atas jika GRS kembali memerintah.
Menurutnya usaha itu mampu dilaksana selepas rundingan mengenai pengembalian hasil 40 peratus Sabah yang sedang berjalan dan dijangka meningkatkan pendapatan negeri.
Hajiji pada masa sama meminta rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang melaungkan slogan perubahan seperti Selamatkan Sabah yang disifatkannya sebagai retorik politik semata mata.
Beliau menegaskan pembangkang pernah diberi peluang mentadbir namun gagal menyelesaikan isu asas rakyat termasuk jalan raya, bekalan air dan pengurusan sampah.
Mengenai peluang GRS di Tempasuk dan Usukan, Hajiji yakin calon gabungan itu mampu mencapai kemenangan dan menambah baik pembangunan di Kota Belud melalui kepimpinan baharu yang lebih fokus kepada rakyat berbanding politik.
