Armizan ketika hadir dalam Majlis Pelancaran Jentera Muda GRS DUN Tanjung Batu, di sini.
TAWAU: Keluarnya Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin daripada kerajaan negeri disifatkan sebagai ‘hikmah paling besar’ buat rakyat Sabah apabila pelbagai projek asas yang sekian lama terbantut akhirnya mula berjalan.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata tuduhan Bung bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah kerajaan paling gagal di dunia hanyalah bayangan kegagalannya sendiri ketika memegang jawatan Menteri Kerja Raya (KKR) Sabah.
Menurutnya, dua tahun pertama pentadbiran GRS (2021-2022) hilang begitu sahaja kerana tiada projek besar penstabilan bekalan air dan elektrik berjaya dimulakan di bawah kepimpinan Bung.
Armizan berkata, ironi politik Sabah menunjukkan bahawa kejatuhan Bung daripada kerajaan negeri sebenarnya membuka pintu kepada penyelesaian isu air dan elektrik yang sudah lama menghimpit rakyat.
“Takdir Tuhan menentukan seorang ‘Menteri Gagal’ keluar daripada kerajaan negeri. Hikmahnya jelas – baru selepas itu kita dapat melihat projek-projek kritikal bergerak,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang dua tahun Bung menerajui KKR, tiada projek penyelesaian air utama berjaya dimulakan.
“LRA Cinta Mata 2 di Tawau hanya mula pada 22 Julai 2025, selepas beliau tiada di KKR. LRA Kogopon di Papar pula hanya dapat dimulakan pada Ogos 2023 selepas Datuk Shahelmy ambil alih,” katanya.
Armizan berkata, kedua-dua projek itu telah lama dirancang, tetapi hanya penggantinya mampu menggerakkannya.
Kerajaan GRS turut merancang projek baharu seperti LRA Balung II yang dijadual bermula pada 2026.
Elektrik: kuasa kembali kepada Sabah, masalah mula diselesaikan
Mengulas isu elektrik, Armizan menjelaskan bahawa Sabah hanya mendapat kuasa kawal selia elektrik pada 3 Januari 2024 selepas lebih 41 tahun kawalan berada di tangan Kerajaan Persekutuan.
“Ketika itu, SESB masih majoriti dimiliki Kerajaan Pusat melalui TNB. Tetapi Bung tetap mahu tunjuk kuasa sehingga mencadangkan dua Ketua UMNO Bahagian duduk dalam Lembaga Pengarah SESB,” katanya.
“Soalnya, apa sumbangan mereka ketika itu? Masalah elektrik tidak selesai. Mereka gagal.”
Selepas UMNO keluar, projek mula laju
Menurut Armizan, sebaik sahaja UMNO dan Bung tidak lagi berada dalam kerajaan negeri, pelbagai projek penstabilan bekalan elektrik mula digerakkan.
Antaranya, Projek Rangkaian Grid Pantai Timur (Southern Link Fasa 1) yang bermula pada 2024.
“Ini bukti jelas – bila halangan tiada, kerja jalan,” katanya.
“Bung keluar, rakyat dapat manfaat”
Armizan menegaskan bahawa kehadiran Bung dalam kerajaan dahulu hanya melambatkan pelaksanaan projek asas rakyat.
“Keluarnya Bung memberi nafas baharu kepada pembinaan infrastruktur air dan elektrik di Sabah. Hikmah itu kini rakyat sendiri dapat rasakan,” katanya.
Beliau berkata, GRS komited memastikan semua projek kritikal ini diteruskan demi menjamin kesejahteraan dan kestabilan bekalan asas bagi seluruh Sabah.
