SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup petrol selepas merampas dua bot enjin sangkut tanpa nombor pendaftaran dalam satu operasi yang dijalankan semalam.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli, berkata rampasan dilakukan oleh Bot APMM ADAL 18 ketika melaksanakan Op Pluto Timur 2/2013, Op Khas Cegah PATI (OCP) COVID-19 Sektor Timur dan Op Tiris 3.0, sekitar jam 5.45 dan 5.50 petang.
Menurutnya, dua bot berwarna kelabu biru dan kelabu itu dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.1 batu nautika utara Tanjung Pantau-Pantau, sebelum didapati ditinggalkan tanpa kru.
“Kita percaya pemilik bot melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pemeriksaan lanjut menemui dua enjin sangkut Yamaha 40hp serta 37 jerikin petrol, dipercayai barang kawalan yang cuba diseludup keluar dari negara ini.
Amir berkata, semua barang rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Semporna untuk dokumentasi dan siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM20,000.
Beliau menegaskan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memperketat kawalan serta meningkatkan operasi bagi membanteras penyeludupan dan jenayah maritim di perairan Semporna.
-Tamat-
