Tindakan terbaharu Fahmi Reza menggunakan sekali lagi karikatur dan visual satira ketika mengulas isu berkaitan kedudukan Tuan Yang Terutama Sabah Tun Musa Aman menimbulkan kemarahan ramai rakyat di negeri ini. Perbuatan tersebut dilihat tidak sensitif terhadap institusi yang sepatutnya dihormati oleh semua rakyat tanpa mengira fahaman politik. Satira politik mungkin menjadi gaya beliau namun apabila melibatkan simbol negeri, maruah institusi dan figura yang dihormati ia bukan lagi soal kreativiti tetapi soal adab.
Menurut pemerhati politik Sabah, Haji M.Ridzal menegaskan bahawa penggunaan karikatur untuk menggambarkan seorang mantan Ketua Menteri dan Yang di Pertua Negeri secara sinis adalah satu tindakan yang melampau. Menurut beliau kreativiti tidak boleh menjadi alasan untuk memperlekehkan institusi yang memainkan peranan penting dalam kestabilan negeri. Beliau menambah bahawa penghinaan bersifat visual memberi kesan lebih mendalam kerana ia bertujuan membentuk persepsi buruk dalam kalangan masyarakat.
Haji M.Ridzal turut menyatakan bahawa perbezaan pandangan politik seharusnya disampaikan dengan penuh hikmah meskipun wujud rasa tidak puas hati terhadap sesuatu keputusan kerajaan.
“Saya tegaskan di sini, bahawa budaya politik matang di Sabah tidak menerima gaya penghinaan atau gambaran karikatur yang merendahkan nilai seorang pemimpin,”
“Rakyat Sabah terkenal dengan adab menghormati orang tua serta tokoh negeri dan perkara seperti ini tidak selari dengan budaya tersebut,” katanya.
Selain itu tindakan Fahmi Reza dikhuatiri membuka ruang kepada generasi muda untuk menganggap penghinaan sebagai norma dalam wacana politik negara.
“Saya memandang serius fenomena ini kerana ia boleh merosakkan asas pendidikan politik yang sepatutnya dibina atas hujah bukan tohmahan dan bukan karikatur yang bernada cercaan,”
Beliau percaya rakyat Sabah sangat matang dan mampu menilai mana satu kritikan membina dan mana satu sekadar provokasi murahan.
Akhirnya beliau menyeru agar semua pihak termasuk aktivis seni media dan pengkritik politik agar tetap memelihara kesopanan ketika menyentuh hal melibatkan institusi negeri. Tun Musa Aman sebagai TYT membawa sejarah panjang dalam pembangunan negeri ini sewaktu menjadi Ketua Menteri Sabah selama 15 tahun dan wajar diberi penghormatan sewajarnya. Kritikan politik adalah hak setiap warga namun biarlah ia disampaikan dengan adab dan integriti agar perbincangan politik negara kekal harmoni dan bertamadun.
