LAHAD DATU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.61 Segama, Romansa Lamin bertekad membawa pendekatan politik matang dan berasaskan fakta pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, tanpa menyerang peribadi atau menjatuhkan mana-mana calon serta parti lain.
Romansa berkata, sudah tiba masanya budaya politik dihiasi perbincangan ilmiah yang memberikan nilai kepada rakyat serta membantu membina masa depan negeri.
“Kali ini kita mahu berkempen dengan perkongsian ilmiah. Kita mahu perkenalkan politik yang mempunyai nilai, kita berikan fakta dan angka. Kita tidak mahu mengajar rakyat menentukan pemimpin melalui fakta yang tidak benar.
“Kita mahu rakyat memilih pemimpin dengan nilai yang betul, dengan kebolehan, hujah serta gagasan manifesto yang menjurus kepada pembinaan kawasan, negeri dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi ceramah bersama Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasamy.
Romansa berkata, budaya politik berasaskan serangan peribadi, fitnah atau penghinaan tidak membawa manfaat kepada masyarakat dan perlu ditinggalkan demi memupuk politik lebih matang serta konstruktif.
Mengulas dakwaan bahawa beliau bukan anak jati Segama, Romansa mengakui beliau dilahirkan di Tawau namun menegaskan akar keluarganya berasal dari Segama.
Katanya, datuk moyangnya adalah antara individu yang terlibat membuka Kampung Cocos di kawasan tersebut, dan beliau sendiri telah berkhidmat selama lebih 30 tahun di Lahad Datu.
“Jalur keturunan saya di sini dan saya kembali ke kawasan asal kerana terpanggil untuk berkhidmat kepada penduduk Segama,” katanya.
Dalam ucapannya, Romansa berharap pengundi memberi peluang kepadanya mewakili Segama bagi membolehkan beliau melaksanakan pelbagai usaha pembangunan.
Katanya, kawasan itu memerlukan perubahan yang lebih menyeluruh dan beliau mempunyai visi serta misi untuk membangunkan Segama dan memastikan kesejahteraan masyarakat setempat.
— TAMAT —
