KUNAK: Seorang lelaki meninggal dunia manakala tiga lagi lelaki cedera parah dalam kemalangan melibatkan sebuah Isuzu Dmax yang terbabas ke dalam jurang sedalam enam meter di Jalan Kunak Tawau awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 4.15 pagi sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kunak dikerahkan ke lokasi kejadian.
Jentera tiba pada jam 4.38 pagi dengan jarak operasi sejauh 21 kilometer.
Komander operasi PBK I Rosman Gari melaporkan bahawa seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Tiga lagi mangsa berusia 39, 35 dan 28 tahun mengalami kecederaan semi kritikal. Seorang daripada mereka merupakan warga Indonesia. Kesemua mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba sebelum dihantar ke Hospital Kunak dan Hospital Tawau menggunakan jentera EMRS serta ambulans KKM.
Operasi ditamatkan pada jam 6.55 pagi setelah keadaan di lokasi disahkan selamat.
