LAHAD DATU: Dua calon wanita dalam kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah terus bersemangat walaupun berdepan insiden khianat melibatkan poster kempen.
Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Silam, Datuk Mizma Appehdullah berkata kejadian poster yang ditemui tumbang pada Jumaat dilihat sebagai isyarat bahawa kehadiran jentera GRS semakin dirasai.
Mizma berkata, insiden ini tidak sedikit pun melemahkan jentera dan tumpuan kempen kini bergerak ke arah memperkukuh jaringan hubungan dan penyelarasan program setempat.
“Kepada semua jentera GRS, mari kita ambil kejadian ini sebagai pembakar semangat. Angkatklah kepala, ambil semula poster yang jatuh dan tegakkan dengan lebih kuat, dengan tekad lebih membara,” tegasnya.
Sementara itu, calon Segama mewakili Sabah Progressive Party (SAPP), Yvonne Yong, turut berdepan insiden khianat merosak poster di Batu 6, Jalan Damai pada Sabtu, namun terus memberi tumpuan kepada kempen.
Katanya, kempen seharusnya dijalankan dengan matang tanpa perbuatan-perbuatan yang tidak memberi manfaat.
“Kita akan meneruskan kempen kerana usaha membangun Segama lebih penting,” tambahnya.
-Tamat-
