TAMPARULI: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyifatkan pelbagai slogan yang dibawa parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke 17 sebagai tidak mencerminkan keadaan sebenar Sabah dan tidak menawarkan penyelesaian yang jelas kepada rakyat.
Beliau berkata ada parti menggunakan slogan seperti Selamatkan Sabah, Kasi Bagus Sabah dan Bikin Balik Sabah namun tidak menghuraikan apa sebenarnya yang mahu diselamatkan, dibaiki atau dibuat semula.
Dalam ucapannya pada Program Jelajah Mega Tamparuli di tapak tamu Pekan Tamparuli, Hajiji menegaskan bahawa pencapaian kerajaan Gabungan Rakyat Sabah GRS sepanjang lima tahun sudah membuktikan kemampuan untuk membawa kemajuan kepada negeri dan membela rakyat miskin.
Hajiji berkata rakyat perlu memilih calon GRS termasuk di DUN Tamparuli dan Kiulu sekiranya mahu memastikan negeri terus membangun. Beliau menegaskan hanya mereka yang sengaja menutup mata sahaja menafikan inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan.
Antara program besar yang diumumkan ialah bantuan SYUKUR yang memberi RM300 sebulan kepada kira kira 100000 rakyat dalam senarai ekasih selain bantuan untuk warga emas berumur lebih 60 tahun serta cadangan bantuan pembelian rumah pertama berharga bawah RM500000.
Ketua Menteri turut mengumumkan kesediaan kerajaan mempertimbangkan cadangan Dr Bonaventure Boniface untuk menaik taraf daerah kecil Tamparuli sebagai daerah penuh selepas mandat baharu diberikan kepada GRS. Beliau mengingatkan pengundi supaya memilih calon yang mampu membawa kemajuan kepada kawasan masing masing pada hari pengundian.
Hajiji menyatakan keyakinan terhadap sokongan rakyat Sabah setelah seminggu berkempen dan percaya gabungan GRS Pakatan Harapan diterima baik berdasarkan maklum balas di kawasan yang beliau lawati. Menurutnya pengundi kini mahu kesinambungan pentadbiran GRS untuk lima tahun seterusnya.
