LAHAD DATU: Polis di daerah ini berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November, termasuk kemungkinan berlakunya bencana alam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, pelan tindak balas bencana telah diaktifkan dan semua aset keselamatan berada dalam keadaan bersedia.
Beliau berkata, Polis Lahad Datu turut menubuhkan Team Ihsan MADANI yang dianggotai 22 pegawai dan anggota untuk membantu masyarakat serta digerakkan bersama pasukan tentera dan Angkatan Pertahanan Awam sekiranya berlaku sebarang insiden.
“Kami menubuhkan pasukan khas bencana bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar walaupun berdepan cuaca tidak menentu, dan kami akan memberikan bantuan bila-bila masa diperlukan,” katanya ketika ditemui pada proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, pada Selasa.
Mengulas mengenai pelaksanaan pengundian awal hari ini, beliau berkata proses berjalan lancar tanpa sebarang isu keselamatan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa aspek keselamatan telah disusun rapi dan menyeru orang ramai untuk menumpukan perhatian kepada memenuhi tanggungjawab masing-masing.
Bagi pengundian awal di kawasan Parlimen Lahad Datu, tujuh saluran mengundi dibuka merangkumi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan 1,827 pengundi, termasuk dua saluran bagi DUN Tungku, dua saluran bagi DUN Silam, satu saluran bagi DUN Kunak dan dua saluran bagi DUN Segama.
– TAMAT –
