LAHAD DATU: Strategi membawa turun nama-nama besar ketika berkempen yang dilakukan pihak lawan tidak menggerunkan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Tungku, Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan.
Abdul Hakim berkata, setiap parti mempunyai strategi masing-masing untuk berkempen, namun keputusan tetap ada di tangan rakyat.
Memilih strategi kempen yang lebih dekat dengan rakyat, Abdul Hakim berkata beliau lebih selesa menemui masyarakat dalam program turun padang, menziarahi dari rumah ke rumah dan program berskala kecil.
“Mereka ada strategi mereka, kita tidak gentar. Kempen ini bukan hanya untuk kita jelaskan perjuangan kita bagi meraih undi, tetapi kempen juga menjadi platform untuk kita mendengar suara rakyat, melihat sendiri keadaan mereka.
“Kita buat program besar-besaran, tetapi rakyat tidak dapat mendekati kita, maka matlamat kita tidak sampai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Jawatankuasa Bahagian dan Sayap Pergerakan Gagasan Rakyat Segama, malam Selasa.
Bercakap mengenai sambutan rakyat ketika kempen, Abdul Hakim menzahirkan rasa syukur atas sambutan baik dan respon positif masyarakat terhadap GRS di Tungku.
Katanya, beliau dapat melihat bahawa GRS semakin menjadi pilihan rakyat kerana perjuangan GRS yang sentiasa komited dalam membawa pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
“Rakyat sebenarnya sentiasa menilai. Bukan hanya waktu Pilihan Raya, mereka membuat penilaian sepanjang kita (GRS) memerintah. Pilihan Raya ini hanya menjadi medan untuk mereka memilih, mereka telah membuat keputusan sejak awal lagi.
“Justeru itu, kempen ini untuk kita yakinkan mereka bahawa kita boleh laksanakan apa yang kita janjikan,” tambahnya.
Abdul Hakim akan berdepan pertembungan tujuh penjuru bagi memenangi kerusi Tungku yang sebelum ini dimenangi oleh Parti Warisan melalui Assaffal P. Alian.
Kerusi Dun Tungku akan ditandingi oleh Abdul Hakim, Assaffal, Saleha Abdul Wahid (BN), Jani Kulmen (PKS), Suling Isib (STAR), Jakaria Nasiran (PPRS) dan Hairunnizam Kamsin (PIS).
-ends
