LAHAD DATU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan sayap-sayap Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) di Silam mengambil langkah proaktif memastikan suasana kempen kekal harmoni dengan membuat laporan polis berhubung satu hantaran media sosial yang menyentuh nama calon mereka, Datuk Mizma Appehdullah.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu pada jam 11.55 pagi, Selasa, sebagai usaha mengekalkan ketenteraman sepanjang tempoh berkempen.
Ejen Pilihan Raya GRS Silam, Rosly Sawal, berkata laporan tersebut dibuat selepas seorang individu memuatnaik hantara di laman sosial berkaitan permohonan tanah daripada GRS.
Beliau menjelaskan bahawa hantaran berkenaan adalah tidak benar, menimbulkan kekeliruan dan bercampur fitnah sehingga menjejaskan kredibiliti calon mereka, Datuk Mizma Appehdullah.
Rosly berkata menjelang hari mengundi, insiden menyebar fitnah atau berita kurang tepat mula berleluasa bagi melemahkan sokongan terhadap GRS dan Mizma.
Menurutnya, laporan itu dibuat agar pihak polis dapat membuat siasatan secara telus dapat dilakukan dan tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas individu berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa keutamaan mereka adalah memastikan calon, penyokong dan penduduk setempat dapat menjalani tempoh kempen dalam suasana yang matang dan saling menghormati.
“Kami turut mendapatkan nasihat peguam parti bagi memastikan setiap langkah diambil dengan teratur dan mengikut saluran yang betul,” katanya.
-ends
