Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, menafikan sekeras–kerasnya dakwaan bahawa parti itu sedang berusaha membeli atau memujuk Ahli Dewan Undangan Negeri bagi mendapatkan sokongan politik.
Dalam satu kenyataan media hari ini,beliau menegaskan bahawa komitmen WARISAN sentiasa berteraskan integriti dan kepimpinan yang dibina melalui kepercayaan rakyat, bukan melalui amalan politik wang.
Menurut Mohd Shafie, parti itu amat menghargai sokongan pengundi serta amanah yang diberikan, dan akan memikul tanggungjawab tersebut dengan penuh rendah hati serta penghormatan.
Beliau turut menekankan bahawa WARISAN menghormati mandat rakyat dan proses demokrasi yang menjadi asas pentadbiran negeri Sabah, selain menolak sebarang bentuk manipulasi politik yang boleh mencemarkan maruah kepimpinan.
“WARISAN akan terus melaksanakan peranan yang telah diamanahkan dengan penuh maruah, konsisten dan dengan iltizam yang tidak berbelah bahagi untuk berkhidmat kepada Sabah,” kata kenyataan itu.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas tular dakwaan bahawa parti itu sedang giat memancing sokongan beberapa ADUN, susulan perkembangan politik semasa di negeri itu. Namun, Mohd Shafie dengan jelas menyatakan bahawa parti itu kekal dengan prinsip bersih dan menghormati pilihan rakyat.

