Pasukan JIM Sabah ketika melakukan pemeriksaan dan tangkapan dalam operasi tersebut.
SANDAKAN: Seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Sandakan sejak 1 Disember lalu hingga semalam.
Menurut JIM, operasi itu dijalankan hasil aduan awam dan risikan hampir seminggu di beberapa lokasi tumpuan warga asing yang dipercayai tidak memiliki dokumen sah.
Seramai 10 pegawai Bahagian Penguatkuasaan JIM Sandakan terlibat dalam pemeriksaan terhadap 58 individu di beberapa kawasan berasingan.
“Hasil pemeriksaan, 17 warga asing dari Filipina dan Indonesia ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Selain itu, dua borang saman kepada saksi turut dikeluarkan sepanjang operasi,” menurut kenyataan JIM semalam.
Semua yang ditahan gagal mengemukakan pas perjalanan atau dokumen sah dan kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, selain Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM Sabah menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI.
Jabatan itu juga menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan warga asing tanpa izin bagi membantu menjaga keselamatan dan ketenteraman setempat.
