Rina ketika mengangkat sumpah sebagai Pembantu Menteri dalam majlis angkat sumpah di Istana Seri Kinabalu.
TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Haji Jainal, menyifatkan pelantikannya sebagai Pembantu Menteri dalam kabinet baharu Sabah sebagai satu amanah besar yang akan dipikul dengan penuh tanggungjawab.
Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menyertai barisan kepimpinan negeri.
“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri, khususnya YAB Ketua Menteri, atas kepercayaan melantik saya sebagai Pembantu Menteri.
“Ini bukan sekadar penghormatan, tetapi satu amanah yang menuntut komitmen tinggi untuk memastikan agenda pembangunan negeri terus bergerak ke hadapan,” katanya dalam kenyataan semalam
Rina juga merakamkan penghargaan kepada rakyat di DUN Kukusan yang memberi mandat kepadanya pada Pilihan Raya Negeri baru-baru ini.
“Terima kasih kepada seluruh pengundi dan rakyat Kukusan kerana memilih saya sebagai wakil rakyat. Pelantikan ini adalah berkat sokongan dan keyakinan rakyat yang mahukan perubahan serta kemajuan lebih progresif di Kukusan dan seluruh Sabah.
“Saya tidak akan lupakan amanah ini dan akan memastikan suara rakyat Kukusan terus menjadi keutamaan dalam setiap keputusan yang dibuat,” katanya.
Beliau berkata pelantikan ke dalam barisan pentadbiran negeri membuka peluang lebih luas untuk memperjuangkan isu pembangunan, infrastruktur, pendidikan, ekonomi setempat serta kebajikan rakyat.
“Dengan kedudukan ini, saya dapat membawa lebih banyak agenda Kukusan ke peringkat pelaksanaan.
“Insya-Allah, saya akan bekerja erat dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan projek-projek pembangunan dapat dilaksana segera dan memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.
Rina menegaskan komitmennya untuk memberikan prestasi kerja terbaik seiring harapan kerajaan dan rakyat terhadap barisan kepimpinan baharu Sabah.
“Saya berjanji akan melaksanakan tanggungjawab ini dengan penuh profesionalisme, integriti dan kesungguhan.
“Kejayaan Sabah adalah keutamaan kita bersama, dan saya percaya dengan kerjasama semua pihak, kita mampu membawa negeri ini ke tahap lebih baik,” katanya.
Beliau turut berharap rakyat terus menyokong usaha kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan, memperkukuh ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Doakan saya dapat menjalankan amanah ini dengan sebaiknya demi masa depan Kukusan dan negeri Sabah yang lebih makmur,” katanya.
