Deretan 18 buah rumah atas air musnah terbakar di Kampung Kurnia Jaya Batu 4 Tawau
TAWAU: Suasana di Batu 4, Kampung Kurnia Jaya bertukar panik apabila deretan rumah atas air tiba-tiba disambar api dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan sekurang-kurangnya 18 buah rumah petang tadi.
Penduduk yang terkejut hanya mampu menyelamatkan diri apabila api marak begitu cepat, dibantu angin dan struktur rumah tidak kekal yang mudah terbakar.
Bagaimanapun, tindakan pantas anggota bomba berjaya mengelakkan tragedi lebih besar apabila kira-kira 500 rumah lain yang berhimpit rapat di kawasan itu terselamat daripada menjadi mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan pada 4.20 petang, sebelum pasukan bergegas ke lokasi sejauh lapan kilometer dari balai.
“Seramai 25 anggota dikerahkan, termasuk 20 dari BBP Tawau serta lima anggota Bomba Bantuan daripada BBP Kunak dan Bomba Komuniti Titingan.
“Empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 18 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut membantu operasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, sebaik tiba pada 4.34 petang, pihak bomba mendapati api sudah menjulang tinggi dan memusnahkan deretan rumah atas air dalam sekelip mata. Sebuah kereta turut hangus 100 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan secara defensive menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki serta dua pancutan air daripada tangki jentera dan sumber air terbuka iaitu air laut.
“Hasil gerak pantas anggota, api berjaya dikekang daripada merebak ke kawasan penempatan yang sangat padat,” katanya.
Jemishin berkata, kebakaran berjaya dikawal pada 4.45 petang, sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.47 petang selepas kawasan disahkan selamat.
“Tiada mangsa dilaporkan, manakala punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
