Screenshot
Haji M. Ridzal
Angkat sumpah Ketua Menteri pada pukul tiga pagi sama sekali bukan isu legaliti. Dalam politik Sabah yang sering bergelora, keabsahan perlantikan tidak diukur oleh jam, tetapi oleh mandat aritmetik kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Upacara menjelang awal pagi hanyalah simbol kepada satu hakikat politik yang tidak dapat dipertikaikan. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) muncul sebagai blok yang paling dominan pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) dan berjaya memperoleh sokongan terbuka yang mencukupi untuk membentuk majoriti kerajaan.
Secara perlembagaan, angka sudah pun cukup jelas. Perlembagaan Negeri Sabah tidak pernah menetapkan masa tertentu bagi Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sabah untuk melaksanakan kuasa melantik Ketua Menteri. Maka, langkah pelantikan ini harus dibaca dalam kerangka politik moden Sabah yang sangat cair, dinamik, dan penuh pertimbangan taktikal.
Dalam landskap sedemikian, mempercepatkan proses pembentukan kerajaan bukan sahaja rasional, malah kritikal.Tindakan pantas ini perlu untuk mengelakkan ruang rundingan yang boleh membuka peluang kepada ‘rundingan silang’, penarikan sokongan, atau yang lebih buruk, mengulangi episod ketidaktentuan politik seperti yang pernah berlaku pada tahun 2018. Ini membuktikan bahawa ‘decisive timing’ adalah sebahagian daripada strategi penting untuk mencapai kestabilan.
Lebih penting lagi, GRS memasuki PRN Sabah ke-17 dengan kelebihan struktur yang sudah kelihatan pada malam keputusan diumumkan. Kerusi yang dimenangi blok itu memberikan asas kuat yang demonstrably mempunyai majoriti bagi TYT membuat keputusan tanpa perlu menunggu drama politik tambahan. Dalam sistem Westminster yang diamalkan, ketua gabungan terbesar yang memiliki majoriti adalah pilihan sah dan logik untuk dilantik, tidak kira jam berapa lampu dewan istana masih rasional untuk dinyalakan.
Naratif kononnya terdapat “kejanggalan” pada upacara jam tiga pagi sebenarnya berpunca daripada kekeliruan awam yang memfokus kepada aspek waktu. Di dalam politik secara konsisten menekankan bahawa aspek substantif iaitu majoriti, keabsahan perlembagaan, dan sokongan yang terikat adalah jauh lebih utama berbanding aspek luaran.
Apa yang berlaku hanyalah manifestasi amalan demokratik yang menekankan kecekapan dan kepantasan penyelesaian kemelut kuasa.
Rakyat Sabah perlu melihat peristiwa ini sebagai episod yang mengukuhkan prinsip bahawa mandat majoriti ialah asas mutlak pembentukan kerajaan. Ketika landskap politik negeri sering diuji oleh percaturan dan percanggahan, keputusan TYT untuk mempercepatkan pelantikan bukan sahaja sah tetapi wajar demi kestabilan segera.
Sabah memerlukan sebuah kerajaan yang dapat berfungsi dengan pantas, dan tidak perlu menunggu sehingga matahari terbit untuk sah berkuasa.
